Wednesday, June 24, 2015

PEGI YANG SEMENTARA DAN PERGI SELAMANYA BAGI DUA SAHABAT

Hari ini terjumpa foto kenangan seorang rakan/sahabat satu pejabat yang telah pergi dalam 2 maksud yang berbeza.

En. Salleh bin Othman pergi kerana berpindah ke tempat bertugas yang baru sementara seorang lagi rakan di dalam foto ini Allahyarham Mohd Baharuddin bin Backri yang telah kembali ke rahmatuallah setelah hampir 20 tahun mengenalinya. Alfatihah dan semoga rohnya dicucuri rahmat dariNya dan diletakkan dikalangan orang yang beramal soleh.

Foto ini diambil pada kali terakhir kami menghadiri Mesy. Pengurusan PPNJ bersama-sama En Salleh sebelum beliau berpindah. semoha terus berjaya di dunia dan akhirat. 

En. Salleh bin Othman duduk yang pertama dari kiri sementara Allahyarham En. Mohd Baharuddin bin Backri berdiri ke-3 dari kanan.

Tuesday, June 23, 2015

CARILAH KEBAHAGIAAN DI DUNIA DEMI AKHIRAT

Tanda pasangan ikhlas mencinta


Suatu hari anda ditanya oleh pasangan, “Awak sayang saya ?” Hati si dia memang unik dan sulit dimengerti. Takkanlah saya tak sayang awak, anak-anak yang tujuh orang tu tak boleh jadi bukti ke? Sebenarnya apa yang anda telah capai bersama pasangan sekarang ini masih jauh dari matlamat perkahwinan. Jangan berpuas hati dulu dengan kebahagiaan kini, bahkan anda mesti sentiasa berwaspada, boleh jadi anda berdua kurang ikhlas mencinta.
Keikhlasan boleh luntur sedikit demi sedikit kerana sikap negatif masing-masing. Hari-hari dalam perkahwinan bagaikan melihat jatuhnya ‘snow ball’ yang mengutip satu-satu insiden buruk yang dilakukan kedua-dua pasangan. Bola salji itu semakin hari semakin besar dan akhirnya menghancurkan segala yang dibina. Tiada lagi keikhlasan mencintai satu sama lain, masing-masing telah berputus asa dan membiarkan sikap-sikap buruk pasangan menghantui diri.
Akibat hilang keikhlasan, hidup jadi tak berkat. Kasih sayang semakin luntur, hati anda menjerit: Suamiku tak sayang lagi atau isteriku tak cinta lagi. Pelik tapi benar, ada isteri yang menyuruh suami mencari yang baru semata-mata kerana malas melayan kerenah suami. Ada pula suami yang bosan hidup bersama lantas memisahkan diri dari keluarga, menyibukkan diri dengan kerjaya, tak mahu terlibat dengan urusan isteri dan anak yang selalu menyusahkan kononnya. Perkahwinan itu memang masih wujud tapi tidak bahagia, hilang kemanisannya, menanti pecah dan terbelah.

Oleh itu setiap pasangan mesti meneliti hati masing-masing, adakah masih wujud keikhlasan dalam mencintai? Berikut tanda-tanda ikhlas dalam perkahwinan.
1. Cinta dan benci kerana Allah SWT
Keikhlasan mesti dijaga, disemai dalam hati dan jangan dibiarkan mati. Suami dan isteri yang ikhlas berusaha mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah. Mereka mengambil berat tentang ‘konsep kahwin untuk ibadah’. Misalnya ketika melayan kerenah suami bukan kerana anda sayangkannya atau takut dia mencari yang lain, tetapi dengan niat kerana mahukan keredaan Allah. Suami yang memberi nafkah pun beriktikad bahawa Allah yang mewajbkannya memberi hak isteri, apabila dia menyimpan apa yang menjadi hak isteri maka dia telah berkhianat kepada Allah SWT. Dosa dan pahala hendaknya menjadi wali percintaan sepanjang masa. Mereka takut mengkhianati pasangan kerana takut kepada Allah SWT. Mereka saling menghormati dan menjaga hati kerana Allah, oleh sebab itu Allah menyatukan hati keduanya.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal ayat: 63)

2. Susah atau senang, cinta tak berubah.

Susah atau senang, sihat atau sakit, bahaya atau bahagia dijalani bersama dengan reda. Kadang-kadang apa yang kita anggap suatu keberuntungan boleh jadi membawa musibah begitu juga sesuatu yang pada pandangan mata kasar adalah musibah namun ia membawa nikmat pada akhirnya. Semasa susah, suami dan isteri berganding bahu menggalas cabaran untuk berjaya. Apabila sudah berjaya, masing-masing berubah sikap. Suami mula mencari cawangan baru, isteri pula mengada-ngada dengan perangai OKB (orang kaya baru).
Kalau diuji dengan kemiskinan mereka bersabar tetapi jika diuji dengan kekayaan jarang yang mampu bersabar. Ramai yang luntur iman jika hidup senang dan kembali ingat Tuhan apabila hidup susah. Al-Quran telah merakamkan seksaan bagi kaum yang bermaksiat ketika hidup dipenuhi kesenangan.
“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan serta merta. Maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (Surah Al-An’am ayat: 44)

Susah atau senang hati mereka tidak pernah berubah, membajai cinta dengan iman dan takwa kepada Allah SWT.

3. Berdua atau sendiri, tetap setia.

Pernahkah anda melihat seorang suami yang dihadapan isteri nampak alim, berbudi bahasa lagi bersopan. Tetapi apabila dia bersendirian barulah nampak belangnya, buas nafsunya bak buaya darat. Isteri pun apa bezanya, jika bersama suami suka memuji tetapi di belakang suami selalu mengeji, mengaibkan perangai suami dalam majlis gossip sana-sini.
Namun, bagi pasangan yang ikhlas tiada sifat munafik dalam diri mereka. Jika bersama semaraklah cinta, sendirian pun menggebu-gebu rindu di jiwa. Semakin lama terpisah semakin membeku kejujuran dalam hati mereka. Jujur dan setia kepada pasangan hanya dapat dibuktikan oleh orang yang merasai kehadiran Allah SWT. Dimana saja dia berada sesungguhnya Allah Maha Melihat, malaikat mencatat dan kitab sentiasa mengira hitungan pahala dan dosa.

Berdua atau sendiri tidak selamat tanpa hati yang merasai pengawasan Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, baik lelaki mahu pun perempuan yang mereka lakukan di atasnya. Bumi mengatakan: Dia telah berbuat begini dan begitu pada hari ini dan hari itu. Inilah yang diberitakan bumi.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)
Semua di sekeliling kita menjadi saksi apa yang dikata oleh lisan, dirasa oleh hati, difikir oleh akal dan dihembus-hembuskan oleh hawa nafsu.

Hargailah pasangan yang telah menerima kita disaat kita tiada apa-apa semasa di awal perkahwinan. Sanggup meninggalkan ibubapa demi mahu hidup bersama insan pilihan hati dengan harapan untuk hidup bahagia bersamanya. Sanggup melalui saat sukar mengandung dan  melahirkan walaupun perlu mengharungi kesakitan yang tidak terperi demi melahirkan zuriat kita.

Sekiranya pasangan masih boleh memberikan kita peluang kedua walaupun jiwanya pernah terluka gunakan peluang sebaiknya kerana belum tentu kita dapat peluang seperti ini bersama insan lain. Perlu kita tahu kelukaan yang dirasai oleh pasangan kita akibat dari perbuatan kita tak mungkin hilang begitu sahaja malahan ianya akan terus terpahat selagi hayat dikandung badan. Luka memang boleh sembuh namun kesan parutnya tetap ada. Pasu yang begitu cantik sekiranya pecah berderai sekalipun boleh dicantum semula hasilnya tetap tidak sama dengan yang asal. Ingat itu perumpamaan dalam perkara ini.

Semoga kita dapat memperbaiki kesilapan dan menghargai pasangan kita kerana Allah s.w.t. Perbanyakkan untuk memuhasabah diri. Kebahagiaan berumahtangga itu tidak boleh datang sendiri tetapi sebaliknya kita dan pasangan kita yang perlu sama-sama berusaha mencari, membina, membentuk dan mengekalkannya kerna Allah s.w.t. Binalah kebahagiaan dengan menghargai kepercayaan dan kejujuran pasangan kita. Percayalah Allah telah mengurniakan pasangan yang terbaik buat kita.

SESUNGGUHNYA KECANTIKAN RUPAPARAS ITU HANYA SEMENTARA, SAMPAI MASA USIA KITA IANYA AKAN PUDAR DAN APA YANG TINGGAL HANYALAH KEIKHLASAN DAN KESETIAAN HINGGA KE AKHIR HAYAT. CARILAH KEBAHAGIAAN YANG MENDAPAT RAHMAT DAN REDHA DARI ALLAH S.W.T.
KEBAHAGIAAN YANG SEBENAR BUKANLAH BERAPA BESAR PANGKAT KITA, BERAPA BESAR KERETA KITA, BERAPA MEWAH RUMAH KITA DAN BERAPA BANYAK WANG SIMPANAN KITA NAMUN KEBAHAGIAAN YANG SEBENAR-BENARNYA ADALAH BERAPA BANYAK AMALAN KITA, BERAPA BANYAK SEDEKAH KITA DAN BERAPA BANYAK KEBAIKAN KITA KERANA RUMAH KITA YANG TERAKHIR ADALAH ALAM BARZAH JUA (KUBUR)
SIAPAPUN KITA INGATLAH KEJAYAAN KITA YANG SEBENAR ADALAH APABILA KITA DAPAT MENGUCAPKAN KALIMAH “LAILAHAILLALLAH MUHAMMADDAURASULLUALLAH” DI AKHIR HUJUNG HAYAT KITA ATAU SETIDAK-TIDAKNYA UCAPAN “ALLAH”  

Carilah Kebahagiaan di dunia demi Akhirat....

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah ke kekhilafan diri kita sendiri. Aamiin.

Kredit kepada : drjuanda.com - Dr. Juanda Jaya ( Mufti Perlis )