Tanda pasangan ikhlas mencinta
Suatu hari anda ditanya
oleh pasangan, “Awak sayang saya ?” Hati si dia memang unik dan sulit
dimengerti. Takkanlah saya tak sayang awak, anak-anak yang tujuh orang tu tak
boleh jadi bukti ke? Sebenarnya apa yang anda telah capai bersama pasangan
sekarang ini masih jauh dari matlamat perkahwinan. Jangan berpuas hati dulu
dengan kebahagiaan kini, bahkan anda mesti sentiasa berwaspada, boleh jadi anda
berdua kurang ikhlas mencinta.
Keikhlasan boleh luntur
sedikit demi sedikit kerana sikap negatif masing-masing. Hari-hari dalam
perkahwinan bagaikan melihat jatuhnya ‘snow ball’ yang mengutip satu-satu
insiden buruk yang dilakukan kedua-dua pasangan. Bola salji itu semakin hari
semakin besar dan akhirnya menghancurkan segala yang dibina. Tiada lagi
keikhlasan mencintai satu sama lain, masing-masing telah berputus asa dan
membiarkan sikap-sikap buruk pasangan menghantui diri.
Akibat hilang
keikhlasan, hidup jadi tak berkat. Kasih sayang semakin luntur, hati anda
menjerit: Suamiku tak sayang lagi atau isteriku tak cinta lagi. Pelik tapi
benar, ada isteri yang menyuruh suami mencari yang baru semata-mata kerana
malas melayan kerenah suami. Ada pula suami yang bosan hidup bersama lantas
memisahkan diri dari keluarga, menyibukkan diri dengan kerjaya, tak mahu
terlibat dengan urusan isteri dan anak yang selalu menyusahkan kononnya.
Perkahwinan itu memang masih wujud tapi tidak bahagia, hilang kemanisannya,
menanti pecah dan terbelah.
Oleh itu setiap pasangan
mesti meneliti hati masing-masing, adakah masih wujud keikhlasan dalam
mencintai? Berikut tanda-tanda ikhlas dalam perkahwinan.
1. Cinta dan benci
kerana Allah SWT
Keikhlasan mesti dijaga,
disemai dalam hati dan jangan dibiarkan mati. Suami dan isteri yang ikhlas
berusaha mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah. Mereka mengambil
berat tentang ‘konsep kahwin untuk ibadah’. Misalnya ketika melayan kerenah
suami bukan kerana anda sayangkannya atau takut dia mencari yang lain, tetapi
dengan niat kerana mahukan keredaan Allah. Suami yang memberi nafkah pun
beriktikad bahawa Allah yang mewajbkannya memberi hak isteri, apabila dia
menyimpan apa yang menjadi hak isteri maka dia telah berkhianat kepada Allah
SWT. Dosa dan pahala hendaknya menjadi wali percintaan sepanjang masa. Mereka
takut mengkhianati pasangan kerana takut kepada Allah SWT. Mereka saling
menghormati dan menjaga hati kerana Allah, oleh sebab itu Allah menyatukan hati
keduanya.
Sebagaimana firman-Nya
yang bermaksud:
“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi nescaya kamu
tidak dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatukan hati
mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal
ayat: 63)
2. Susah atau senang,
cinta tak berubah.
Susah atau senang, sihat atau sakit, bahaya atau bahagia dijalani bersama
dengan reda. Kadang-kadang apa yang kita anggap suatu keberuntungan boleh jadi
membawa musibah begitu juga sesuatu yang pada pandangan mata kasar adalah
musibah namun ia membawa nikmat pada akhirnya. Semasa susah, suami dan isteri
berganding bahu menggalas cabaran untuk berjaya. Apabila sudah berjaya,
masing-masing berubah sikap. Suami mula mencari cawangan baru, isteri pula
mengada-ngada dengan perangai OKB (orang kaya baru).
Kalau diuji dengan
kemiskinan mereka bersabar tetapi jika diuji dengan kekayaan jarang yang mampu
bersabar. Ramai yang luntur iman jika hidup senang dan kembali ingat Tuhan
apabila hidup susah. Al-Quran telah merakamkan seksaan bagi kaum yang bermaksiat
ketika hidup dipenuhi kesenangan.
“Maka tatkala mereka
melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan
semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira
dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan serta
merta. Maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (Surah Al-An’am ayat: 44)
Susah atau senang hati
mereka tidak pernah berubah, membajai cinta dengan iman dan takwa kepada Allah
SWT.
3. Berdua atau sendiri,
tetap setia.
Pernahkah anda melihat seorang suami yang dihadapan isteri nampak alim, berbudi
bahasa lagi bersopan. Tetapi apabila dia bersendirian barulah nampak belangnya,
buas nafsunya bak buaya darat. Isteri pun apa bezanya, jika bersama suami suka
memuji tetapi di belakang suami selalu mengeji, mengaibkan perangai suami dalam
majlis gossip sana-sini.
Namun, bagi pasangan
yang ikhlas tiada sifat munafik dalam diri mereka. Jika bersama semaraklah
cinta, sendirian pun menggebu-gebu rindu di jiwa. Semakin lama terpisah semakin
membeku kejujuran dalam hati mereka. Jujur dan setia kepada pasangan hanya
dapat dibuktikan oleh orang yang merasai kehadiran Allah SWT. Dimana saja dia
berada sesungguhnya Allah Maha Melihat, malaikat mencatat dan kitab sentiasa
mengira hitungan pahala dan dosa.
Berdua atau sendiri
tidak selamat tanpa hati yang merasai pengawasan Allah. Rasulullah SAW pernah
bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, baik lelaki
mahu pun perempuan yang mereka lakukan di atasnya. Bumi mengatakan: Dia telah
berbuat begini dan begitu pada hari ini dan hari itu. Inilah yang diberitakan
bumi.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)
Semua di sekeliling kita
menjadi saksi apa yang dikata oleh lisan, dirasa oleh hati, difikir oleh akal
dan dihembus-hembuskan oleh hawa nafsu.
Hargailah pasangan yang
telah menerima kita disaat kita tiada apa-apa semasa di awal perkahwinan.
Sanggup meninggalkan ibubapa demi mahu hidup bersama insan pilihan hati dengan
harapan untuk hidup bahagia bersamanya. Sanggup melalui saat sukar mengandung
dan melahirkan walaupun perlu
mengharungi kesakitan yang tidak terperi demi melahirkan zuriat kita.
Sekiranya pasangan masih
boleh memberikan kita peluang kedua walaupun jiwanya pernah terluka gunakan
peluang sebaiknya kerana belum tentu kita dapat peluang seperti ini bersama
insan lain. Perlu kita tahu kelukaan yang dirasai oleh pasangan kita akibat
dari perbuatan kita tak mungkin hilang begitu sahaja malahan ianya akan terus
terpahat selagi hayat dikandung badan. Luka memang boleh sembuh namun kesan
parutnya tetap ada. Pasu yang begitu cantik sekiranya pecah berderai sekalipun
boleh dicantum semula hasilnya tetap tidak sama dengan yang asal. Ingat itu
perumpamaan dalam perkara ini.
Semoga kita dapat
memperbaiki kesilapan dan menghargai pasangan kita kerana Allah s.w.t.
Perbanyakkan untuk memuhasabah diri. Kebahagiaan berumahtangga itu tidak boleh
datang sendiri tetapi sebaliknya kita dan pasangan kita yang perlu sama-sama
berusaha mencari, membina, membentuk dan mengekalkannya kerna Allah s.w.t.
Binalah kebahagiaan dengan menghargai kepercayaan dan kejujuran pasangan kita. Percayalah
Allah telah mengurniakan pasangan yang terbaik buat kita.
SESUNGGUHNYA KECANTIKAN
RUPAPARAS ITU HANYA SEMENTARA, SAMPAI MASA USIA KITA IANYA AKAN PUDAR DAN APA
YANG TINGGAL HANYALAH KEIKHLASAN DAN KESETIAAN HINGGA KE AKHIR HAYAT. CARILAH
KEBAHAGIAAN YANG MENDAPAT RAHMAT DAN REDHA DARI ALLAH S.W.T.
KEBAHAGIAAN YANG SEBENAR
BUKANLAH BERAPA BESAR PANGKAT KITA, BERAPA BESAR KERETA KITA, BERAPA MEWAH RUMAH
KITA DAN BERAPA BANYAK WANG SIMPANAN KITA NAMUN KEBAHAGIAAN YANG
SEBENAR-BENARNYA ADALAH BERAPA BANYAK AMALAN KITA, BERAPA BANYAK SEDEKAH KITA
DAN BERAPA BANYAK KEBAIKAN KITA KERANA RUMAH KITA YANG TERAKHIR ADALAH ALAM
BARZAH JUA (KUBUR)
SIAPAPUN KITA INGATLAH KEJAYAAN
KITA YANG SEBENAR ADALAH APABILA KITA DAPAT MENGUCAPKAN KALIMAH “LAILAHAILLALLAH
MUHAMMADDAURASULLUALLAH” DI AKHIR HUJUNG HAYAT KITA ATAU SETIDAK-TIDAKNYA
UCAPAN “ALLAH”
Carilah Kebahagiaan di
dunia demi Akhirat....
Sesungguhnya yang baik
itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah ke kekhilafan diri kita
sendiri. Aamiin.
Kredit kepada : drjuanda.com - Dr. Juanda Jaya ( Mufti Perlis )